Pages

Ramadhan Bulan Hidayah

Tuesday, 9 August 2011 0 comments


"Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa.." - [al-Baqarah: 183]
Sesungguhnya hidup ini merupakan satu perjalanan, tiba di destinasinya ia akan terhenti walau apa pun usaha untuk menegahnya daripada berhenti. Syukur kepada Allah S.W.T, ia masih belum terhenti sehingga ke saat ini untuk membenarkan kita sekali lagi bertemu dengan Ramadhan. Syukur kerana bulan ini ialah bulan yang menjanjikan hidayah dan ganjaran yang besar buat sesiapa yang memburunya.
Ramadhan Bukan Hanya Menahan Lapar & Dahaga
Sebagaimana yang seringkali saya nyatakan sebelum ini, Ramadhan tidak usah lagi disebut sebagai bulan puasa. Kadang-kadang sebutan bulan puasa lebih terkenal dari sebutan bulan Ramadhan menyebabkan masyarakat hanya akan mengingati Ramadhan sebagai bulan untuk berpuasa. Justeru, ramai yang menganggap puasa sahaja dengan menahan lapar dan dahaga tanpa mengerjakan tuntutan-tuntutannya sudah cukup bererti di dalam menyambut Ramadhan. Ini merupakan satu kesilapan dalam memahami tuntutan Ramadhan.
Taqwa Dan Hidayah
Perkara paling penting dalam menyambut Ramadhan ialah taqwa kerana itulah matlamat daripada ibadat puasa. Taqwa tidak lahir melainkan dengan hidayah. Hidayah hanya tumpah ke dalam hati dengan izin Allah S.W.T. Hati yang mendapat hidayah akan memandu anggota untuk melakukan kebaikan. Kaki akan dipandu untuk ke masjid, lidah akan dipandu untuk membaca al-Quran, tangan akan dipandu untuk bersedekah dan begitulah anggota-anggota yang lain.
Hidayah ialah satu benda yang tidak diajar dalam sekular, komunis, kapitalis mahupun sosialis. Tidak pernah ideologi sekular mengajar penganutnya berusaha mencari hidayah. Kapitalis hanya mengajar penganutnya mencari harta kekayaan tetapi tidak pernah menyebut persoalan hidayah. Umat Islam yang terpengaruh dengan ideologi-ideologi ini hanya akan meratibkan soal-soal lahiriah tanpa menyentuh soal hidayah. Bahkan ia akan dilabel sebagai hak peribadi yang tidak boleh disentuh oleh sesiapa sekalipun.
Inilah silapnya pemikiran kebanyakan individu masyarakat pada hari ini. Sedangkan hidayah ialah satu nikmat daripada Allah S.W.T. Dalam surah al-Fatihah yang wajib dibaca di dalam setiap kali solat, kita diminta untuk membaca permohonan mendapatkan hidayah atau petunjuk ke jalan yang lurus. Firman Allah S.W.T yang bermaksud :
"Tunjukilah kami jalan yang lurus.." [al-Fatihah, ayat 6]
Memohon Hidayah Berkali-Kali Sehari
Sekiranya hidayah ialah persoalan yang tidak penting, maka apa perlunya untuk dipohon di dalam solat? Apa perlunya untuk sentiasa diangkat permohonan ini kepada Allah S.W.T berbelas-belas kali dalam sehari? Jawabnya, hidup ini tidak akan bererti melainkan dengan hidayah daripada Allah S.W.T. Justeru, mereka yang mendapat hidayah dianggap sebagai orang-orang yang mendapat nikmat yang besar. 
"(Yaitu) jalan orang-orang yang telah Engkau beri nikmat kepada mereka; bukan (jalan) mereka yang dimurkai dan bukan (pula jalan) mereka yang sesat." [Surah al-Fatihah, ayat 7]
Siapa pula orang-orang yang mendapat nikmat tersebut? Mereka bukan semestinya orang-orang yang kaya, berpangkat dan berpengaruh yang pada hari ini dipandang mulia di hadapan manusia kerana kekayaan, jawatan dan pengaruhnya. Mereka ialah orang-orang yang disebut oleh Allah S.W.T :
"Dan barangsiapa yang mentaati Allah dan Rasul(Nya), mereka itu akan bersama-sama dengan orang-orang yang dianugerahi nikmat oleh Allah, iaitu: Nabi-nabi, para shiddiiqiin, orang-orang yang mati syahid, dan orang-orang saleh. dan mereka Itulah teman yang sebaik-baiknya.." [Surah an-Nisa', ayat 69]
Semarakkan Ramadhan Dengan al-Quran
Selain memohon untuk diberikan hidayah, semarakkanlah Ramadhan dengan bacaan al-Quran sebanyak-banyaknya. Selain membaca, fahamilah makna dan beramallah dengan kandungannya.
Al-Quran ialah manual yang diturunkan Allah S.W.T untuk manusia menjalani kehidupan di muka bumi ini. Ini kerana bumi ini diciptakan oleh Allah S.W.T dan manual penggunaannya hanya dikeluarkan oleh Allah S.W.T.
Memahami al-Quran membawa kita mengenali di antara dosa dan pahala, Syurga dan Neraka. Ia umpama lampu suluh yang menyuluh gelap pekat jahiliyyah. Sebagaimana kita akan mencari lampu suluh untuk menyuluh laluan pada saat malam pekat, demikian juga laluan hidup perlu disuluh agar bercahaya.
Lampu suluh kehidupan ialah al-Quran. Inilah penyuluh yang akan menerangi laluan di dunia, alam kubur bahkan apabila bangkit di Akhirat nanti. Mereka yang menolak al-Quran hakikatnya menolak lampu suluh yang disediakan oleh Allah S.W.T. Mereka perlu bersedia untuk menghadapi kegelapan di alam kubur dan kegelapan di hadapan Allah S.W.T kelak.
Apabila al-Quran Diketepikan
Bahayanya masyarakat yang hidup tanpa lampu suluh ini sangat besar. Pengalaman saya bermusafir ke Uzbekistan baru-baru ini cukup mengajar saya bagaimana teruknya masyarakat apabila mengenepikan al-Quran selaku manual hidup.
Di bumi yang tersemadinya jasad muhaddis agung al-Imam al-Bukhari Rahimahullah itu, hari ini masih ditadbir dengan nilai-nilai komunis sekalipun Uzbekistan telah merdeka dari Soviet Union, ia masih mengekalkan beberapa dasar yang begitu sekali memberikan kemudharatan kepada Islam.
Bumi ini yang pernah melahirkan ulama-ulama besar seperti Imam Bukhari, Abu Laits As Samarkandi, Imam Bahaudin, Imam Muslim, Imam Nasai, Imam Tirmizi, Imam Nakhai dan lain-lain, hari ini seolah-olah kehilangan kesemua kebanggaan yang pernah dicatat di dalam sejarah.
Masjid-masjid cukup besar namun sunyi dari diimarahkan. Lebih teruk apabila anak-anak di bawah umur 18 tahun tidak dibenarkan datang ke masjid dengan alasan belum cukup umur. Akhirnya pendidikan Islam semenjak kecil tidak disemai dan melahirkan masyarakat yang hanya Islam pada nama tetapi tidak pada amalan kehidupan.
Inilah rupa wajah masyarakat yang tidak dibentuk dengan acuan al-Quran. Bagaimanapun, usaha-usaha untuk menyemarakkan dakwah mula berjalan dan saya berharap suatu hari nanti bumi Uzbekistan ini berjaya mengulangi sejarah kegemilangannya insya-Allah.
Apa yang penting, perkongsian ini untuk mengingatkan kita bahawa begitulah bahayanya apabila al-Quran dikesampingkan. Ditambah pula dengan para ulama yang tidak mahu turun ke medan menegakkan pemerintahan yang berlandaskan Islam, sedikit demi sedikit nilai Islam akan dicabut. Apabila ia berjaya dicabut, ia akan mengambil masa yang lama untuk disemai semula.
Justeru, jadikanlah Ramadhan sebagai ruang untuk menyemarakkan al-Quran. Ibu bapa berperanan di rumah, guru-guru di sekolah dan kerajaan pula di dalam negara. Semua pihak perlu bekerjasama dan insya-Allah saya yakin dengan usaha berterusan, masyarakat umat Islam dapat kembali menghayati al-Quran dalam kehidupan.
Semoga Ramadhan tahun ini akan lebih mesra Qalbu bagi diri kita berbanding dengan Ramadhan yang telah berlalu.

Ramadhan Bulan Menabur Benih

0 comments


Ramadhan... Semakin hari semakin pergi meninggalkan kita. Sekejap sungguh masa berlalu. 2 Ogos yang lalu, saya berkesempatan menimba ilmu kuliah Ustaz Mohd Noor Zakaria di Masjid Bakar Arang, Sg. Petani.
Menurut ustaz, "bulan Ramadhan ibarat ladang. Allah S.W.T dah beri benih dan baja. Terserah kepada kita apa yang kita nak buat. Terpulang kepada kita macam mana kita nak tanam di ladang yang disediakan Allah S.W.T ni. Allah S.W.T janji, jika kita manfaatkan betul-betul peluang ini, maka hasil daripada apa yang kita tanam ni akan dilipat-kali gandakan."
Pesan ustaz lagi, "kalau dulu tanam padi hasil 3-4 lori, maka pada bulan ni insya-Allah jika kita betul-betul pulun maka mungkin hasilnya melonjak naik kepada 7-8 lori. Inilah Ramadhan... Ibadat sunat bila dibuat dikurniakan pahala ibadat wajib, solat jemaah yang dijanjikan 27 kali ganda digandakan kepada berpuluh-puluh malah beratus kali ganda. Allahu Akbar... Betapa kasihnya Allah S.W.T kepada hamba-Nya. Boleh lagi ka kita nak dakwa depan Allah S.W.T nanti kononnya kita tak dak peluang nak ibadat sedangkan Allah S.W.T dah sediakan satu bulan daripada 12 bulan dengan pelbagai tawaran menarik. Cuma terpulang kepada kita sama ada nak rebut atau nak buat dek ja ka."
Hari-hari yang berlalu sepanjang bulan yang penuh keberkatan ini tidak akan datang lagi, yang tinggal hanyalah saki-baki hari Ramadhan tahun 1432H. Bulan Ramadhan tahun 1433H pula belum tentu kita dapat rasai. Jadi, ayuh! Rebutlah peluang sepanjang bulan Ramadhan yang masih berbaki ini. Bulan ini juga bulan untuk kita mendidik nafsu kita dan memperbaiki diri.
Keistimewaan bulan Ramadhan :
  • Bulan yang melonjakkan semangat jihad
  • Bulan mendidik diri agar istiqamah solat jemaah terutamnya solat Subuh dan Isya'
  • Bulan mendidik diri agar istiqamah ke masjid
  • Bulan mendidik nafsu agar tunduk kepada Allah S.W.T
  • Bulan mendidik diri agar tegar di jalan perjuangan
    • Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W. bersabda: 'Umatku telah dikurniakan dengan lima perkara yang istimewa yang belum dikurniakan kepada sesiapapun sebelum mereka. Bau mulut daripada seorang Islam yang berpuasa itu terlebih harum di sisi Allah daripada haruman kasturi, ikan-ikan di lautan memohon keampunan ke atas mereka sehinggalah mereka berbuka puasa. Allah S.W.T mempersiapkan serta menghiasi Syurganya setiap hari kemudian berfirman kepadanya: 'Masanya hampir tiba bilamana hamba-hamba-Ku yang taat akan meninggalkan segala halangan-halangan yang besar (di dunia) dan akan mendatangimu. Pada bulan ini Syaitan-Syaitan dirantaikan supaya mereka tidak dapat menggoda manusia ke arah maksiat yang biasa mereka lakukan pada bulan-bulan selain Ramadhan. Pada malam-malam terakhir Ramadhan (orang-orang berpuasa ini) akan diampunkan'. Maka sahabat-sahabat Rasulullah S.A.W pun bertanya: 'Wahai pesuruh Allah, adakah malam itu malam Lailatul Qadar? 'Dijawab oleh Rasulullah S.A.W: 'Tidak, tetapi selayaknya seorang yang beramal itu di beri balasan setelah menyempurnakan tugasannya.'
      Oleh itu, marilah kita sama-sama merebut peluang yang masih berbaki ini. Moga-moga bulan Ramadhan tahun ini menjadi Ramadhan terbaik yang pernah kita lalui. Insya-Allah...

    80,000 penyokong Reds tawan Stadium Nasional

    Tuesday, 19 July 2011 0 comments


    Sebahagian daripada lebih 80,000 penonton yang menyaksikan perlawanan di antara Liverpool dan Malaysia di Stadium Nasional Bukit Jalil, semalam. - MINGGUAN/Abdul Razak Latif


    KUALA LUMPUR - Aksi persahabatan Malaysia dan Liverpool semalam mencatat sejarah tersendiri apabila hampir 80,000 penonton, yang sebahagian besar penyokong skuad Redsmemenuhi Stadium Nasional Bukit Jalil bagi menyaksikan perlawanan tersebut.
    Keghairahan peminat setia Kelab Liga Perdana England itu mula dirasai sejak tengah hari semalam, apabila ribuan penyokong Liverpool mula memenuhi luar stadium, walaupun perlawanan bermula 5.45 petang.
    Lautan penyokong Reds memakai jersi merah menguasai setiap ruang stadium dan suasana semakin hangat apabila mereka mula menyanyikan lagu keramat You'll Never Walk Alone, sambil menjerit nama pemain kesayangan mereka.
    Stadium gamat sebaik sahaja pemain skuad Liverpool masuk ke dalam padang untuk memanaskan badan pada pukul 5 petang, dengan diketuai penolong pengurus, Steve Clarke.
    Walaupun lautan merah menguasai stadium, jumlah penonton yang memakai jersi Malaysia tidak kurang juga hebat, walaupun tenggelam dengan tengah-tengah kelompok besar penyokong Reds.
    Pelbagai ragam dapat disaksikan termasuk insiden seorang penyokong yang memakai jersi Manchester United, iaitu musuh ketat Liverpool menyebabkan dia diejek, sehingga penyokong United itu terpaksa membuka jersi yang dipakainya.
    Kehadiran begitu ramai peminat Reds ternyata tidak sia-sia apabila kelab pujaan mereka menang besar 6-3 ke atas skuad Malaysia dalam perlawanan yang menarik dan menghiburkan.

    Reds hebat kita menyengat

    0 comments

    PEMAIN pertahanan Malaysia, Helmi Remeli (dua kiri) menghalang percubaan pemain Liverpool, Sotirios Kyrgiakos pada perlawanan persahabatan sempena Siri Jelajah Asia kelab Liga Perdana England itu di Stadium Nasional Bukit Jalil, semalam.



    KUALA LUMPUR – Kalah tapi ada peningkatan. Itu perwatakan yang dipamerkan skuad kebangsaan apabila tewas 3-6 kepada Liverpool dalam aksi persahabatan dalam Siri Jelajah Asia kelab itu di Stadium Nasional, semalam.
    Walaupun kalah, pujian harus diberikan kepada skuad Datuk K. Rajagobal yang bangkit selepas ketinggalan 4-1 pada babak kedua untuk merapatkan jurang gol kepada 4-3.
    Namun akibat kelalaian benteng pertahanan, Malaysia akhirnya terpaksa akur dengan kehebatan Liverpool, apabila melepaskan dua gol pada masa kecederaan.
    Safee Sali paling mencuri tumpuan apabila menjaringkan dua gol dalam tempoh tiga minit selepas dimasukkan pada babak kedua.
    Keupayaan meledak dua gol sewajarnya menjadi amaran kepada Singapura, apabila berdepan Malaysia pada kelayakan Piala Dunia 2014 pada 23 dan 28 Julai ini.
    Aksi menarik semalam bermula dengan skrip yang sama ketika menentang Arsenal Rabu lalu berulang buat Harimau Malaya, apabila Liverpool mendahului hasil sepakan penalti pada minit ke-24.
    Ia bermula apabila pemain pertahanan Fadhli Shas dipersalahkan kerana menjatuhkan Andy Carroll.
    Namun, keputusan pengadil Nagor Amir Noor Mohamed memberikan penalti mencetuskan kontroversi kerana Carroll yang melanggar Fadhli.
    Pemain yang baru dibeli Liverpool, Charlie Adam mudah menyempurnakan penalti, walaupun sepakan pertamanya dibatalkan
    Ketinggalan satu gol tidak melenyapkan semangat pemain negara sebaliknya bangkit mengikat kedudukan apabila ketua pasukan, Safiq Rahim menggegar jaring lawan dengan gol menarik hasil sepakan bebas.
    Ia seakan-akan menjadi tradisi buat Safiq apabila sebelum ini menjaringkan gol yang hampir sama iaitu pada perlawanan kelayakan Piala Dunia 2014 pusingan pertama menentang Taiwan, di mana Malaysia menang hasil kelebihan gol di tempat lawan.
    Liverpool akhirnya membuktikan kehebatan sebenar, ditambah dengan kelalaian pertahanan Fadhli dan Muslim Ahmad, apabila menjaringkan gol pada minit ke-64 dan 65 melalui David Ngog untuk menjadikan kedudukan 3-1.
    The Reds menambah jaringan keempat pada minit ke-74, melalui Maxi Rodriguez namun seperti harimau luka, Malaysia berjaya merapatkan jurang 4-3 hasil kehebatan Safee, yang tenang memperdayakan benteng pertahanan Liverpool.
    Hajat untuk Harimau Malaya menjaringkan gol penyamaan berkecai apabila kelalaian pertahanan Malaysia membolehkan Rodriguez dan Dirk Kuyt menambah gol Liverpool pada masa kecederaan.

    -Petikan dari Utusan Malaysia-

    LIVERPOOL UJI HARIMAU MALAYA 16 JULAI INI

    Tuesday, 7 June 2011 0 comments

    Liverpool uji Harimau Malaya 16 Julai

    Ian Ayre (kanan) menyerahkan jersi Liverpool kepada Subahan Kamal selepas sidang media perlawanan persahabatan antara Liverpool dengan pasukan kebangsaan di Kuala Lumpur, semalam.


    PETALING JAYA - Tarikh 16 Julai pasti ditunggu-tunggu oleh peminat setia Liverpool di negara ini apabila kelab Liga Perdana England itu bakal menjejakkan kaki ke Malaysia buat pertama kali dalam siri Jelajah Asia 2011.
    Kunjungan Reds ke negara ini yang akan mengadakan perlawanan persahabatan dengan skuad kebangsaan dibawa oleh Standard Chartered sebagai penaja utama kelab tersebut.
    Sepak mula perlawanan tersebut pada pukul 5.45 petang di Stadium Nasional Bukit Jalil.
    Pengarah Urusan Liverpool FC, Ian Ayre berkata, perasaan teruja terhadap kunjungan tersebut bukan sahaja dirasai oleh peminat Liverpool di Malaysia, tetapi dikongsi oleh pemain bintang Redsyang juga tidak sabar untuk ke negara ini.
    "Kunjungan Liverpool ke negara ini adalah pertama kali dan sudah tentu para pemain tidak sabar untuk ke sini.
    "Pemain yang paling teruja untuk ke Malaysia ialah Steven Gerrard kerana dia tidak pernah datang ke negara ini," katanya.
    Hadir sama Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Subahan Kamal, Setiausaha Agung FAM, Datuk Azzuddin Ahmad, jurulatih skuad kebangsaan, Datuk K. Rajagobal dan Ketua Pegawai Eksekutif Standard Chartered Malaysia, Osman Murad.
    Menurut Ayre, di sebalik persiapan Liverpool bagi menghadapi musim baru di bawah kendalian Kenny Dalglish, juga penting untuk memberi peluang kepada para peminat mendekati pemain idola mereka.
    Sementara itu, Subahan berkata, Liverpool mempunyai peminat yang cukup ramai di negara ini dan peluang menyaksikan dari dekat para pemain bintang yang beraksi dalam EPL tidak datang selalu.
    "Biasanya kami tonton mereka di televisyen dan kali ini, para peminat berpeluang untuk menyaksikan secara dekat kehebatan pemain-pemain bintang ini," ujarnya.
    Osman pula memberitahu, Standard Chartered Bank (Malaysia) Berhad amat berbesar hati membawa Liverpool ke Malaysia.
    "Liverpool memiliki peminat yang ramai di Malaysia, sudah tentu penyokong setia kelab ini tidak sabar untuk menyaksikan Reds beraksi di negara ini," katanya.

    -Petikan dari Utusan Malaysia-

    Oleh AIZAWATI AHMAD
    sukan@utusan.com.my

    Reds Teruskan Rentak Kemenangan

    Wednesday, 11 May 2011 0 comments

    Reds teruskan rentak kemenangan

    Pemain Fulham, Chris Baird (kiri) mengasak pemain Liverpool, Maxi Rodriguez pada perlawanan Liga Perdana di Craven Cottage, London, semalam. – REUTERS


    LONDON - Liverpool meneruskan rentak kemenangan untuk mengisi slot Liga Europa dengan Maxi Rodriguez meledak jaringan hatrik bagi membantu pasukannya membenam Fulham 5-2 di Craven Cottage semalam.
    Rodriguez, yang menjaringkan tujuh gol dalam tiga perlawanan liga, meledak dua jaringan pada enam minit pertama, selepas gol sulung pemain itu dihasilkan ketika perlawanan baru bermula 32 saat.
    Pemain tengah Argentina itu menyumbat gol keempat Liverpool menerusi rembatan cantik dari jarak jauh pada minit ke-70.
    Penyerang Belanda, Dirk Kuyt menjaringkan gol ketiga bagi meletakkan Reds mendahului 3-0 pada minit ke-16. Jaringan tersebut merupakan gol kelima dalam lima perlawanan berturut-turut.
    Penyerang Uruguay, Luis Suarez melengkapkan kemenangan pada minit ke-75 menerusi larian solo yang berjaya merobek pertahanan Fulham bagi membantu Reds naik ke tangga kelima dengan kelebihan dua mata di depan Tottenham.
    Spurs, bagaimanapun kurang satu perlawanan.
    Moussa Dembele dan Steve Sidwell menjaringkan dua gol sagu hati untuk Fulham.
    “Ia merupakan keputusan yang luar biasa buat kami. Menjaringkan lima gol adalah sesuatu yang tidak kami duga,” kata pengurus Liverpool, Kenny Dalglish.
    Pasukan bimbingan Dalglish semakin menghampiri jurang kepada empat mata dengan Manchester City, tetapi dengan hanya baki dua perlawanan, menyebabkan harapan Reds untuk ke layak ke Liga Juara-Juara sudah tertutup.
    Ini merupakan kemenangan keenam dalam sembilan perlawanan terakhir Liverpool, yang meneruskan kebangkitan luar biasa di bawah Dalglish sejak dia mengambil alih jawatan pengurus daripada Roy Hodgson pada Januari lalu.
    “Kami hanya akan dapat keputusan yang baik jika kami melaksanakan tanggungjawab yang diberi.
    “Tiada siapa yang menduga kami mampu melangkah sehingga ke tahap ini sejak Januari lalu,” kata Dalglish. – Petikan AP dan Utusan Malaysia

    Yusuf Islam

    0 comments


    Mengapa Saya Masuk Islam? - Yusuf Islam


    Saya dilahirkan dalam sebuah rumah yang penghuninya beragama Kristian. Diajar bahawa tuhan itu wujud, tetapi kita tidak ada hubungan secara langsung dengan tuhan.
    Lantas kita perlu mewujudkan satu cara untuk menghubunginya, iaitu melalui Jesus. Dan apabila mereka mengatakan yang tuhan itu tiga, saya menjadi lebih bingung tetapi saya tidak mampu membantah atau membahaskannya.
    Namun, sedikit demi sedikit, saya mendapati diri semakin jauh daripada pendidikan yang berbentuk agama ini.
    Saya mula mencipta muzik dan mahu menjadi seorang bintang terkenal. Akhirnya, saya berjaya menjadi seorang yang sangat terkenal.
    Pada waktu itu, saya berusia belasan tahun tapi nama dan gambar terpampang di semua bentuk media.
    Mereka membuat saya lebih besar dan kerana itu saya juga mahu hidup dengan cara yang lebih besar daripada hidup yang sebenarnya, dan satu-satunya cara untuk mendapatkannya ialah dengan menikmati arak dan dadah.
    Selepas setahun berjaya menikmati kemewahan dan hidup secara high, saya sakit teruk dijangkiti penyakit TB dan perlu dirawat di hospital.
    Kemudian, tiba satu ketika apabila saya rasa agama Buddha itu nampak baik dan mulia, tetapi saya masih belum bersedia menjadi seorang sami Buddha dan memisahkan diri daripada masyarakat sepenuhnya.
    Saya mencuba pula Zen dan Ching, numerologi, kemudian kad-kad pakau dan astrologi. Saya cuba membuka semula kitab Bible tetapi tidak menjumpai apa-apa. Pada waktu itu, saya masih tidak tahu sesuatupun tentang Islam.
    Titik Permulaan
    Kemudian satu keajaiban berlaku. Abang saya melawat sebuah masjid di Jerusalem. Dia begitu kagum dengannya. Masjid itu dirasakan penuh dengan kehidupan (tidak seperti gereja-gereja dan rumah-rumah biara yang dirasakan kosong), aman dan tenang.
    Dia memberikan saya senaskah terjemahan al-Quran yang dibawanya dari sana. Dia tidak pula menjadi seorang Muslim tetapi dia dapat merasakan yang ada sesuatu dalam agama itu, dan dia fikir mungkin saya akan menjumpai sesuatu juga.
    Apabila saya terima kitab itu, saya mendapat petunjuk yang bakal menerangkan segala-galanya kepada saya - siapa diri saya, apakah tujuan hidup di dunia, apakah sebenarnya hakikat hidup dan apakah hakikat yang akan berlaku, dan di mana saya datang. Saya sedar bahawa inilah agama yang benar; agama yang bukan dalam erti kata yang difahami oleh Barat, bukan agama yang hanya berguna untuk masa tua anda.
    Perkara pertama yang ingin saya lakukan pada waktu itu ialah menjadi seorang Muslim.
    Pada tahap ini juga, saya mula menemui keyakinan. Saya merasakan sudah pun menjadi seorang Muslim. Apabila saya membaca kitab al-Quran itu, barulah saya sedar bahawa kesemua para nabi yang diutus Allah itu membawa ajaran yang sama.
    Lantas, mengapakah penganut Kristian dan Yahudi saling tidak sefahaman? Sekarang saya tahu bagaimana orang Yahudi tidak mahu menerima Jesus sebagai utusan Tuhan dan mereka juga telah menukar ayat-ayat Tuhan.
    Penganut Kristian salah faham akan ayat-ayat Tuhan dan menganggap Jesus anak Tuhan. Kesemuanya masuk akal dan begitu mudah difahami.
    Inilah keindahan al-Quran. Ia membuat anda berfikir dan mencari jawapan, dan tidak menyembah matahari atau bulan tetapi Tuhan yang Esa yang telah menciptakan segala-galanya.
    Apabila saya lebih banyak membaca kitab al-Quran, ia menceritakan pula tentang sembahyang, sifat pemurah dan sifat suka berbuat baik.
    Saya masih belum menjadi seorang Islam lagi, tetapi saya sudah dapat merasakan bahawa satu-satunya jawapan untuk saya ialah al-Quran; bahawa Tuhan telah menghantarnya kepada saya, dan saya menyimpannya sebagai satu rahsia. Tetapi al-Quran itu juga berkata-kata pada beberapa peringkat yang berlainan. Saya mula memahaminya pada peringkat yang lain pula.
    Al-Quran mengatakan, "Mereka yang beriman tidak menjadikan orang kafir sebagai temannya dan orang beriman itulah saudaranya."
    Pada tahap itulah, timbul keinginan saya untuk bertemu dengan saudara-saudara selslam.
    Melawat Jerusalem
    Saya melawat Jerusalem (sepertimana yang dilakukan abang saya). Di Jerusalem, saya masuk ke dalam masjid dan duduk. Seorang lelaki datang menghampiri dan bertanya apa yang saya mahu. Saya beritahu dia yang saya seorang Muslim. Dia bertanya lagi, apakah nama saya. Saya jawab, "Stevens". Dia kelihatan keliru. Setelah itu, saya menyertai sembahyang berjemaah, walaupun tidak begitu menjadi.
    Peristiwa ini berlaku pada tahun 1977, lebih kurang satu setengah tahun selepas saya menerima al-Quran daripada abang saya.
    Lantas, pada satu hari Jumaat, iaitu selepas menunaikan sembahyang Jumaat, saya pergi bertemu imam Masjid New Regent dan melafazkan syahadah di tangannya.
    Saya telah menjadi seorang yang memiliki kemasyhuran dan kemewahan. Tetapi saya begitu sukar mendapatkan petunjuk, walau bersungguh-sungguh saya cuba mendapatkannya, sehinggalah saya ditunjukkan dengan al-Quran.
    Sekarang saya sedar bahawa saya boleh berhubung secara langsung dengan Tuhan, tidak perlu menggunakan perantara. Islam mengangkat semua halangan ini.
    Saya tidak pernah berjumpa orang Islam sebelum saya memeluk agama suci ini. Saya lebih dahulu membaca al-Quran dan menyedari bahawa tidak ada manusia yang sempurna di dunia ini.
    Hanya Islam yang sempurna, dan sekiranya kita semua meniru akhlak Rasulullah s.a.w., kita akan berjaya.
    Moga-moga Allah memberikan kita petunjuk dan hidayah-Nya untuk menuruti jejak langkah Rasulullah s.a.w.. Amin!
    Petikan dari Artikel iluvislam.com

     
    SHAH © 2011 | Designed by Bingo Cash, in collaboration with Modern Warfare 3, VPS Hosting and Compare Web Hosting