![]() |
Sebahagian daripada lebih 80,000 penonton yang menyaksikan perlawanan di antara Liverpool dan Malaysia di Stadium Nasional Bukit Jalil, semalam. - MINGGUAN/Abdul Razak Latif |
KUALA LUMPUR - Aksi persahabatan Malaysia dan Liverpool semalam mencatat sejarah tersendiri apabila hampir 80,000 penonton, yang sebahagian besar penyokong skuad Redsmemenuhi Stadium Nasional Bukit Jalil bagi menyaksikan perlawanan tersebut.
Keghairahan peminat setia Kelab Liga Perdana England itu mula dirasai sejak tengah hari semalam, apabila ribuan penyokong Liverpool mula memenuhi luar stadium, walaupun perlawanan bermula 5.45 petang.
Lautan penyokong Reds memakai jersi merah menguasai setiap ruang stadium dan suasana semakin hangat apabila mereka mula menyanyikan lagu keramat You'll Never Walk Alone, sambil menjerit nama pemain kesayangan mereka.
Stadium gamat sebaik sahaja pemain skuad Liverpool masuk ke dalam padang untuk memanaskan badan pada pukul 5 petang, dengan diketuai penolong pengurus, Steve Clarke.
Walaupun lautan merah menguasai stadium, jumlah penonton yang memakai jersi Malaysia tidak kurang juga hebat, walaupun tenggelam dengan tengah-tengah kelompok besar penyokong Reds.
Pelbagai ragam dapat disaksikan termasuk insiden seorang penyokong yang memakai jersi Manchester United, iaitu musuh ketat Liverpool menyebabkan dia diejek, sehingga penyokong United itu terpaksa membuka jersi yang dipakainya.
Kehadiran begitu ramai peminat Reds ternyata tidak sia-sia apabila kelab pujaan mereka menang besar 6-3 ke atas skuad Malaysia dalam perlawanan yang menarik dan menghiburkan.







